"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada Hari Akhirat" - (Ar-Ra'd:22)

Tuesday, December 10, 2013

Insan terpilih

Assalammualaikum..

           Pagi tadi adalah sambungan perbicaraan mengenai kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang masih belum selesai sejak setahun yang lepas.  Aku sebenarnya sangat sangat penat dengan karenah manusia yang pelbagai ini.  Memang di luar jangkaan kita.  Pada ketika ini tahap emosi aku memang masih belum stabil.  Setiap kali habis perbicaraan, aku dihurung dengan satu perasaan sedih, hampa, kecewa dan pelbagai lagi.  Seorang suami yang sepatutnya melindungi isteri dan anak-anak seakan lupa tanggungjawab dan peranannya yang sebenar.  

         Kadang-kadang aku terfikir, tiada secalit perasaan perikemanusiaankah kamu terhadap kami ini?  Aku telah melahirkan zuriatmu.  Menjaga amanahmu dengan sebaik mungkin tanpa mengeluh.  Tiada apa yang aku harapkan.  Aku cuma mengharapkan kamu melayan kami sebagai manusia yang ada hati dan perasaan.  Itu sudah cukup bagiku.  Aku tidak mahu akan hartamu.  Hartaku adalah anak-anakku.  Mana mungkin aku mengabaikan mereka setelah 9 bulan aku mengandungkan dan melahirkan mereka.  Aku punyai sifat keibuan yang tinggi.  Aku sanggup berkorban apa saja untuk mereka.  Aku sanggup menyusukan mereka secara sepenuh masa sehingga 2 tahun walaupun aku sibuk bekerja.  

           Tidakkah kamu kasihan padaku walaupun hanya sebesar kuman? Mungkin benar, kau mengahwiniku bukan atas dasar keikhlasan.  Sedarkah kamu bahawa kamu telah menganiaya kami secara mental dan fizikal? Tidak mengapalah. Hanya Allah yang dapat membalasnya.  Mungkin aku adalah insan terpilih dalam menerima dugaan Allah ini.  Aku terima dengan redha kerana mungkin ia adalah balasan dosa-dosaku yang terdahulu.  Aku harus kuat dan  tabah.  Apapun yang  terjadi aku harus teruskan kehidupan.  Menyara dua orang anakku tanpa nafkah darimu.  Cukuplah segala fitnah yang kau lemparkan.  

           Pada ketika ini hanya pada Allah sahaja yang aku harapkan.  Mungkin inilah takdirku.  Aku sebenarnya tidak kuat.  Jauh di sudut hatiku, aku sangat hampa, kecewa dan segalanya terlalu sakit utnuk aku terima.  Ya Memang aku nampak tabah namun hakikatnya aku juga lemah.  Namun aku perlu kuat di hadapan anak-anakku agar mereka tidak akan turut bersedih dengan apa yang aku rasai.  Masih adakah sinar harapan buatku? Aku cuma ingin hidup tenang dengan orang-orang yang aku sayangi.  Cukuplah.  Pintu hatiku sudah tertutup untukmu.  Namun aku tidak pernah berdendam.  Aku berdoa agar suatu masa nanti kau menyedari segala kesilapan yang kau lakukan.  Mungkin ada hikmah di sebaliknya. 

No comments:

Post a Comment