"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada Hari Akhirat" - (Ar-Ra'd:22)

Thursday, December 26, 2013

Danial kerja?

          Setelah seharian penat mandi laut. Kenalah meneruskan kerja di pejabat pula.  Memandangkan aku sudah ketandusan cuti, maka tiadalah cuti rehat dapat diambil lagi.  Cuti selebihnya bagi tahun 2013 akan digunakan dengan sebaik mungkin sekiranya aku menghadiri perbicaraan di Mahkamah nanti.  Aku mengambil keputusan untuk membawa Danial ke pejabat kerana ingin mengurangkan beban mak menjaga budak-budak di kampung.  Rayqal terpaksa ditinggalkan di kampung sebab ibu dan ayahnya ada hal yang tidak dapat dielakkan.  Jadi, sekiranyanya aku membawa Danial, senang la sikit mak nak jaga Rayyan dan Rayqal di kampung.  Lagipun dua hari saja dipejabat.  Bos dan ramai staff di pejabat juga cuti.  Jadi, mungkin adanya Danial ini tidaklah mengganggu mereka sangat.  Aku kejut anak teruna aku ni seawal 4.15 pagi bersiap mandi untuk bertolak ke Petaling Jaya.  Bagi aku ianya perkara biasa kerana aku sudah biasa berulang alik dari Hutan Melintang ke Petaling Jaya setiap hari.  Namun, tidak bagi teruna aku ni.  Alhamdulillah, senang saja kejutkan Danial bangun pagi.  Semuanya adalah tips dari penceramah yang pernah aku dengar.  Yang pastinya selawat dan salam serta sentuhan yang lembut memainkan peranan dalam mengejutkan anak bangun pagi samada untuk solat, ke sekolah atau mandi.  Jadi, kita semua boleh amalkan dalam kehidupan seharian. 

             Danial ni seorang yang banyak mulut.  Suara dah la besar. Habis satu pejabat bising dengan suara dia yang suka bertanya itu dan ini.  Budak zaman sekarang mana lah nak duduk diam kan? Ada saja perkara yang ingin dilakukan.  Melukis la, mewarna la, tengok kartun la, main game lah..Memang jenuh la mommy dia ni nak layan. Kalau nak tahu, Danial pun tolong mommy buat kerja juga. Tak percaya? Jom tengok..







Pada sebelah malam pula, aku bawa teruna ku ni berjalan-jalan di Mid Valley. Nak tengok wayang tapi tiada cerita yang seronok pula. Habis saja Danial puas berjalan dan minta apa yang dia nak minta, kami pun balik dan singgah kedai mamak.  Nak makan roti canai dan teh tarik katanya...Dia sempat pula posing mimik muka macam dibawah ni.  Sabar je la...
 

Mandi laut

         25hb. Disember 2013, kami sekeluarga pergi mandi laut di Pantai Teluk Batik.  Memandangkan semua orang cuti, inilah masanya kami meluangkan masa bersama-sama.  Aku, mak dan emi bangun seawal 4.30 pagi untuk memasak dan menyediakan segala keperluan untuk berkelah.  Semua orang memang teruja untuk mandi laut terutamanya anak-anak aku ni.  Kami bertolak seawal jam 7.00 pagi.  Kononnya, semua nak terjun pantai pagi-pagi.  Bila mandi pagi takde la panas sangat kan? Udara pun segar dan sejuk.  

           Kami sampai jam 8.00pagi.  Memang seronok sebab orang tidak ramai jadi boleh la kami pilih tempat duduk bawah pokok yang dekat dengan pantai.  Bayangkanlah kena bawa makanan yang sangat banyak.  Ye la semuanya kuat makan kan? hehe.. kami bawa sandwich telur, sandwich sardin, nasi, ayam masak merah, udang galah masak lemak nenas, hot dog, nugget, bihun goreng.  Memang kenyang la. Sudah lama rasanya tidak menjejaki kaki di sini.  Banyak juga perubahan. Nak tengok gambar kami? Sila lihat bawah ya..


 Atuk bersama cucu-cucunya yang sangat kacak itu.  Seperti biasa Rayyan yang manja itu asyik nak berdukung saja.


 Nenek bersama cucunya Rayqal yang sangat comel.  Ibu Rayqal dah kurus dah sekarang. Berjaya mengembalikan berat badan sebelum bersalin. hehe


 Inilah mommy Danial dan Rayyan. Tinggal kami bertiga sekarang.  Tidak mengapalah yang penting kami gembira.


 Aku sudah ada dua orang jejaka yang tampan.  Macam tidak percaya saja.  Amanah Allah akan ku peliharai sebaik mungkin InsyaAllah


 Aku dan Rayyan dalam bot.  Rayyan tidak mahu lepas dari aku.  Mungkin takut sebab inilah kali pertama anak mommy ni naik bot.


 Danial dan pak su duduk paling depan sekali.  Wahhhh..berani sungguh anak mommy ni ya!!


Macam tidak percaya kami di tengah laut.  Seronok dan teruja.  Hilang semua stress.

          Itulah sedikit sebanyak gambar kenangan yang dapat aku ambil.  Gambar mandi laut tiada siapa nak ambil sebab semua orang sibuk mandi manda.  Hehehe.  Walau apapun, aku sangat bersyukur dan gembira dapat membawa anak terunaku di sini.  Danial nak naik banana bot tapi aku tak bagi sebab bahaya la sayang.....Lepas ni insyaAllah aku akan bawa mereka jauh sikit.  Memandangkan Danial pun akan mula bersekolah, segala aktiviti akan dirancang terlebih dahulu.

Sunday, December 22, 2013

potong pendek

Terlalu banyak perkara berlaku dalam hidupku selama ini.  Suka, duka, sedih, pilu..Setelah berbulan-bulan berfikir, akhirnya aku mengambil keputusan untuk memotong rambutku seperti ini.

 *gambar hiasan di ambil dari google

Mengapa? Sebab aku nak buang semua pengalaman pahit itu jauh-jauh.  Bukan senang aku nak buat keputusan lebih-lebih lagi rambut aku ni sangat lambat untuk panjang.  Sayang sangat nak potong.  Menangis juga tengok rambut berjuraian jatuh ke atas lantai tapi nak buat macam mana kan? Hidup perlu diteruskan.  2014 merupakan azam baru dan semangat baru untuk aku terus mengorak langkah demi masa depan dua orang puteraku.  Tiada masa untuk berpaling ke belakang.  InsyaAllah langkah demi langkah akan ku atur untuk kepentingan kami bertiga.

Pendam saja

Sejak kebelakangan ini fikiran aku sangat bercelaru.  Sungguh sukar melupakan seseorang yang sangat dicintai.  Itulah lumrah hidup.  Apa pun, aku harus berpijak pada bumi yang nyata.  Pendam saja cinta itu dalam hati kerana sememangnya aku sangat yakin ia tidak akan ke mana.  Jika kau membaca ini, aku ingin kau tahu bahawa aku selalu mendoakan kebahagianmu di dunia dan akhirat.  Maafkan ku kerana aku terpaksa melakukan ini untuk kebaikan semua.  Kita sudah mempunyai kehidupan masing-masing.  Aku tidak mahu merosakkan kebahagiaanmu walaupun hanya dengan sebesar debu. Semoga kau hidup bahagia hingga ke Jannah.  Maafkanku.  Bukan niatku untuk menghindari atau menjauhkan diri darimu.  Aku terpaksa bina jurang ini.  Mungkin dengan cara ini dapat menghilangkan perasaanku terhadapmu sedikit demi sedikit walaupun hakikatnya sukar.  InsyaAllah aku akan terus kuat mengharungi kehidupan ini. Mungkin inilah takdirku, inilah hidupku. Walau apapun, di mana saja kau berada, doaku tetap mengiringimu.

Assalammualaikum..

Thursday, December 12, 2013

Antara cinta dan tanggungjawab

Assalammualaikum..

              Dalam kehidupan ini tidak semua yang kita inginkan akan dapat dimiliki.  Hakikatnya, semuanya milik Allah.  Tidak kiralah apa yang kita ada..perasaan, cinta, kasih sayang, keluarga, harta, kerjaya dan segalanya merupakan milik Allah Yang Maha Berkuasa.  Kita sebagai manusia tidak mampu mentafsir apa yang akan berlaku dalam hidup kita.  Segalanya telah ditentukan dan sememangnya kita harus redha kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.  Sudah semestinya masa juga tidak boleh diputar kembali untuk kita memulihkan kembali apa yang sepatutnya tidak akan kita pilih. Redha dengan ketentuan Allah sudah cukup membahagiakanku.  Cinta itu adalah anugerah dan milik Allah.  Kadang-kadang kita haruskan korbankan perasaan cinta itu untuk kebaikan semua.  

               Aku juga insan biasa.  Siapalah aku untuk menolak perasaan cinta itu.  Namun, pengalaman telah mendewasakanku. Simpan saja perasaan itu dalam hati.  Biarlah ia terbuku asalkan aku tidak akan mengecewakan orang lain.  Dan aku juga tidak mahu dikecewakan.  Pengalaman telah mengajarku erti hidup.  Terlalu banyak kesakitan yang aku lalui.  Justeru, aku tidak mahu perasaanku itu dirasai oleh orang lain.  Kerana aku sangat-sangat memahami betapa sakitnya untuk diterima.  Sesungguhnya, masa tidak boleh diputar kembali.  Tanggungjawab dalam menjaga amanah Allah adalah yang lebih utama.  Aku tidak mahu menjadikan keadaan bertambah sulit.  Justeru, lebih baik aku simpan saja perasaan itu.

                Walau apapun, aku sentiasa mendoakanmu walau di mana kamu berada. Biarlah aku simpan saja semua cinta dan kenangan itu.  Hidup perlu diteruskan.  Semoga kau peroleh kebahagian dan keberkatan di dunia dan akhirat. Aminnnnn..

Tuesday, December 10, 2013

Mengapa?

        Pada ketika ini, air mataku mengalir laju seakan-akan faham akan kesakitan yang aku lalui.  Aku masih berumur 29 tahun namun aku telah mengharungi pelbagai dugaan yang membolehkanku bersikap lebih matang.  Sedang orang lain menempa kejayaan dan kehidupan bersama suami dan anak tercinta, aku mengharunginya seorang diri.  Aku tidak pernah meminta simpati pada orang lain.  Jauh sekali mengadu segala permasalahanku pada orang yang aku rasakan tidak perlu untuk mengetahuinya.  Mungkin cuma ada beberapa orang yang mengetahuinya namun tidak semua kerana aku tidak mahu menambahkan lagi masalah mereka dengan masalahku yang tidak pernah tahu bila kesudahannya ini.  Mungkin orang juga sudah muak dengannya.  Mungkin ada juga sesetengah pihak yang melabelkan aku sebagai seorang perempuan yang tidak baik.  Ye la mulut orang susah untuk diduga.  Ramai orang suka membuat spekulasi sendiri. Namun alhamdulillah, kebanyakan orang memberi nasihat yang positif untukku.  Walaupun mereka tidak dapat membantu, sedikit sebanyak mereka telah memberi perasangsang kepadaku serta mengingatiku bahawa tujuan kita hidup adalah untuk Allah S.W.T.

      Aku tidak pernah ambil peduli tentang masalah atau cerita orang.  Aku seorang yang bersikap natural.  Tapi mengapa masih ada manusia yang mempunyai hasad dengki yang tinggi terhadapku? Secara jujurnya, aku hanya bekerja niat kerana Allah demi menyara kehidupan anak-anakku.  Tapi terlalu ramai yang tidak senang dengan diriku. Mengapa? Apa salah aku? Ya memang ramai orang senang berkawan denganku.  Mungkin sikapku yang ikhlas dan semula jadi ini dapat dinilai oleh orang sekeliling.  Itu adalah diriku.  Aku bukan seorang yang hipokrit.  Aku sangat menghormati perasaan orang tapi mengapa masih ramai yang tidak menghormati perasaanku? 

          Maaf, aku bukan seorang  perempuan yang tergedik gedik macam perempuan yang lain.   Aku seorang yang natural.  Aku bukan seorang pengikis atau penggoda yang sanggup lakukan apa saja demi kepentingan peribadi.  Walaupun aku punyai masalah peribadi, itu bukan tiket untuk kau sewenang-wenangnya melabelkan aku seperti itu.  Maaf, aku bukan seperti kamu.  Mengapa kamu bersikap demikian? Aku hanya berjumpa dengan panel tersebut atas urusan kerja.  Itupun atas kehendak panel itu sendiri dan bukannya aku yang tergedik-gedik.  Aku jumpa dengan panel tersebut pun ditemani oleh rakan-rakan sekerja yang lain di PEJABAT.  Mengapa kamu perlu dengki? Dia sugar daddy kamu kah? Maaf la, aku bukan seperti yang kamu sangkakan.

        Aku bukanlah perempuan yang control ayu macam kamu.  Aku tak pernah usik hidup kamu pun.  Aku adalah aku.  Kamu tengok aku pelik? aku memang macam ni.  Fesyen adalah kesukaanku.  Aku suka pakai apa yang orang rasa pelik. Tapi akhirnya, orang akan menyukainya.  Tidak perlulah kamu dengki dengan aku.  Itu adalah aku.  Aku juga dapat merasai orang senang akan aku.  Aku langsung tidak pernah berbangga diri seperti kamu.  Aku lagi bertambah suka dapat mengembangkan ilmu yang aku ada.  Bersyukur dengan apa yang kamu ada.  Jangan sesekali mempunyai hasad dengki dengan orang lain di mana akhirnya tidak akan menguntungkan apa-apa untukmu pun....

Insan terpilih

Assalammualaikum..

           Pagi tadi adalah sambungan perbicaraan mengenai kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang masih belum selesai sejak setahun yang lepas.  Aku sebenarnya sangat sangat penat dengan karenah manusia yang pelbagai ini.  Memang di luar jangkaan kita.  Pada ketika ini tahap emosi aku memang masih belum stabil.  Setiap kali habis perbicaraan, aku dihurung dengan satu perasaan sedih, hampa, kecewa dan pelbagai lagi.  Seorang suami yang sepatutnya melindungi isteri dan anak-anak seakan lupa tanggungjawab dan peranannya yang sebenar.  

         Kadang-kadang aku terfikir, tiada secalit perasaan perikemanusiaankah kamu terhadap kami ini?  Aku telah melahirkan zuriatmu.  Menjaga amanahmu dengan sebaik mungkin tanpa mengeluh.  Tiada apa yang aku harapkan.  Aku cuma mengharapkan kamu melayan kami sebagai manusia yang ada hati dan perasaan.  Itu sudah cukup bagiku.  Aku tidak mahu akan hartamu.  Hartaku adalah anak-anakku.  Mana mungkin aku mengabaikan mereka setelah 9 bulan aku mengandungkan dan melahirkan mereka.  Aku punyai sifat keibuan yang tinggi.  Aku sanggup berkorban apa saja untuk mereka.  Aku sanggup menyusukan mereka secara sepenuh masa sehingga 2 tahun walaupun aku sibuk bekerja.  

           Tidakkah kamu kasihan padaku walaupun hanya sebesar kuman? Mungkin benar, kau mengahwiniku bukan atas dasar keikhlasan.  Sedarkah kamu bahawa kamu telah menganiaya kami secara mental dan fizikal? Tidak mengapalah. Hanya Allah yang dapat membalasnya.  Mungkin aku adalah insan terpilih dalam menerima dugaan Allah ini.  Aku terima dengan redha kerana mungkin ia adalah balasan dosa-dosaku yang terdahulu.  Aku harus kuat dan  tabah.  Apapun yang  terjadi aku harus teruskan kehidupan.  Menyara dua orang anakku tanpa nafkah darimu.  Cukuplah segala fitnah yang kau lemparkan.  

           Pada ketika ini hanya pada Allah sahaja yang aku harapkan.  Mungkin inilah takdirku.  Aku sebenarnya tidak kuat.  Jauh di sudut hatiku, aku sangat hampa, kecewa dan segalanya terlalu sakit utnuk aku terima.  Ya Memang aku nampak tabah namun hakikatnya aku juga lemah.  Namun aku perlu kuat di hadapan anak-anakku agar mereka tidak akan turut bersedih dengan apa yang aku rasai.  Masih adakah sinar harapan buatku? Aku cuma ingin hidup tenang dengan orang-orang yang aku sayangi.  Cukuplah.  Pintu hatiku sudah tertutup untukmu.  Namun aku tidak pernah berdendam.  Aku berdoa agar suatu masa nanti kau menyedari segala kesilapan yang kau lakukan.  Mungkin ada hikmah di sebaliknya.