"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada Hari Akhirat" - (Ar-Ra'd:22)

Monday, March 3, 2014

Menyepi

        Siapalah aku untuk menolak takdir.  Semuanya adalah ketentuan Allah Yang Maha Esa. Tidak perlu untuk menyalahkan sesiapa.  Yang penting aku redha dan pasrah dengan segala yang ditakdirkan untukku.  Mungkin ada hikmah yang tersirat di sebaliknya.  Mungkin juga ianya adalah balasan untuk diriku yang selama ini lalai akan tanggungjawabku sebagai hamba Allah di muka bumi ini.  Aku kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata.  Namun, aku tetap bersyukur kerana masih mempunyai dua orang putera yang telah menceriakan siang dan malamku.  Hanya gelak dan tawa mereka sumber kekuatan untuk aku meneruskan perjalanan hidupku ini. 

       Sejujurnya, luka yang terpalit dalam hatiku ini masih terasa sakitnya.  Mungkin ia akan berparut sehingga ke akhir hayatku.  Lukanya sangat dalam.  Hanya Allah sahaja yang tahu segala isi hatiku dan kesakitan yang telah aku sembunyikan selama ini. Siapa sangka ibu kepada dua orang putera yang kelihatan sentiasa ceria dan murah dengan senyuman sedang melalui kehidupan yang sangat perit untuk di rasai.  Apapun, aku tetap bersyukur kerana aku adalah di antara orang-orang terpilih dalam menerima ujian dan dugaan dari Allah S.W.T.  Bukan semua orang mampu dan boleh perolehinya. 

         Bukan niatku untuk menyepi.  Bukan niatku untuk melarikan diri. Bukan niatku untuk mengelak. Cukup lah selama ini aku menjadi perbualan di pejabat, jiran tetangga, facebook, instagram dan sebagainya. Aku tidak mahu lagi menambah segala kekusutan. Aku sangat letih untuk menjawab segala persoalan orang.  Aku mengambil keputusan untuk berdiam diri. Bukankah diam itu adalah lebih baik dari berkata-kata? Aku tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan.  Aku hanya mahu mengelakkan dosa dengan fitnah dan tuduhan yang dilemparkan terhadapku. Memang tidak dinafikan aku sangat merindui semua sahabat dan rakan-rakanku.  Aku amat menyayangi persahabatan.  Namun, apa yang mampu aku lakukan? Walaupun ia menjadi tanda tanya dan teka teki oleh mereka, sekurang-kurangnya aku dapat meneruskan kehidupan dengan tenang dan terus positif.  Mungkin pengalaman telah mendewasakanku. Kehidupan menjadikan aku lebih matang dalam menangani semua permasalahan.

          Mungkin, ada hikmah di atas semua yang terjadi.  Alhamdulillah aku semakin dekat dengan Allah.  Alhamdulillah aku semakin kuat untuk berusaha sendiri dalam membesarkan putera-puteraku. Apa yang ku fikirkan sekarang adalah kebahagiaan mereka. Ya..hanya mereka Danial Asyraf dan Rayyan harith. Hanya kebahagian mereka. Tentang diriku? Itu semua aku tolak tepi. Melihat orang di sekelilingku bahagia akan membuatkan diriku juga bahagia.  InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment