"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada Hari Akhirat" - (Ar-Ra'd:22)

Monday, March 24, 2014

Zoo Taiping

        Hari ketiga di Taiping kami pergi ke Zoo.  Semua orang masih belum hilang penat mandi seharian suntuk di Bukit Merah. Tujuan utama nak bawa anak-anak melihat sendiri binatang secara 'live' namun malangnya mereka nampak bosan.  Kami yang tua-tua ni pula yang teruja tengok binatang.  Mungkin Danial dan Rayyan nampak bosan kerana tidak dapat memegang sendiri binatang di situ.  Di sini, aku titipkan beberapa keping gambar sebagai kenangan.

Danial, Rayyan dan Rayqal posing dahulu dipintu masuk zoo.  Rayqal sedang tidur dengan lena sejak dalam perjalanan ke sini tadi.

Aku dukung Rayyan yang sedang tidur sepanjang jalan.

Rayyan masih tidur tanpa rasa terganggu. Perasan tak zirafah di belakang kami?


Menggunakan kudrat yang ada mendukung Rayyan Harith sepanjang jalan. Manja sungguh anak mommy ni.

Kami sekeluarga yang bahagia. Alhamdulillah..

Silat lihat gajah di belakang kami. Teruja sungguh..

Aku bersama puteraku Rayyan Harith yang sangat manja.


Danial Asyraf yang kacak memang susah nak duduk diam. Dia suka melihat 
 kangaroo..





Sunday, March 23, 2014

Bukit Merah Laketown Resort

       Alhamdulillah..kali ni kami mengambil keputusan membawa keluarga dan anak-anak bercuti ke Taiping. Nama saja orang Perak tapi inilah kali pertama aku sampai ke Taiping. 3 hari 2 malam sudah cukup untuk kami meluangkan masa bersama kerana yang lebih penting budak-budak gembira. Seperti biasa tujuan utama adalah untuk membawa mereka ke satu tempat yang boleh bermandi-manda. Semua budak suka air kan? Jadi, Bukit Merah Laketown Resort adalah destinasi utama. Harga tiket adalah RM30 (dewasa), RM20 (kanak-kanak), RM15 (warga emas). Kami dapat potongan harga sebanyak 20% hasil keratan surat khabar yang dikumpul dari Harian Metro baru-baru ini.  Alhamdulillah rezeki. Seharian kami berendam di sini. Kami sampai seawal jam 9 pagi dan pulang pada pukul 5 petang. Rayyan Harith sangat penat sampai tertidur di atas pelampung. Tidur lena pula tu tapi sayangnya aku terlupa lupa nak ambil gambar si teruna seorang ni. Kami bermalam di homestay sahaja kerana lebih murah dan berbaloi untuk kami yang pergi beramai-ramai ni. Di bawah aku titipkan beberapa keping gambar untuk kenangan kami bersama.

 Mereka sempat lagi main kereta lumba sementara tunggu masa untuk bermandi-mandi


 Inilah Rayyan Harith.  Gelak sakan bila dapat 'drift' bersama Uncle Izham dia 


 Aku selalu tanya emi. Mengapa mesti ambil gambar depan pintu? hehe


 Atuk, Mummy, Danial dan Rayyan


 Nenek, Mummy, Danial dan Rayyan


 Sila lihat Danial yang tidak mahu berenang guna pelampung. Ini jawabnya "Danial dah besar la, tau berenang sendiri?" sabar je la kan..


Rayyan Harith sangat teruja tunjuk 'terror' pada Rayqal

 
Untunglah dapat duduk rileks atas pelampung. hehe

 
 Buaya tembaga? 


 Ibu bersama Rayqal yang sangat comel..


 Lihatlah bila dua orang teruna ini seronok..Banyak kali Danial tenggelam gara-gara tidak mahu guna pelampung. Si abang ni memang menguji tahap kesabaran mummy dia..


 Rayyan Harith sudah mula mengantuk setelah penat berenang. 


 Abang tunjuk kehebatan pada Adik.  Dengan bangganya cakap 'Abang kuat tolak adik'


Sila lihat Danial Asyraf yang sangat teruja bermain air. 

Wednesday, March 19, 2014

Pereka Fesyen?



     Mesti anda tertanya-tanya mengenai gambar di atas bukan? Sebenarnya, ia adalah berkaitan dengan kursus 'Cantik Luar dan Cantik Dalam'. Alhamdulillah..Kursus yang sangat padat serta dapat memberikan pelbagai input positif. Gambar di atas telah ditulis oleh peserta kursus mengenai pandangan dan persepsi mereka apabila melihat aku. Kelakar pun ada. Ibu penyayang? Alhamdulillah..

WW#2


Tuesday, March 18, 2014

Riadah

     Sudah lama rasanya tidak melakukan aktiviti riadah. Namun bila sekali dapat melakukannya, memang susah nak berhenti. Ia bermula ketika aku terpandang sekumpulan  remaja sedang melakukan senaman tai chi pada waktu awal pagi di tengah-tengah tasik di Taman Jaya.  Aku berasa sungguh teruja.  Sekadar berkongsi cerita dengan rakan pejabat akhirnya ada pula yang berminat untuk melakukan aktiviti riadah selepas waktu kerja bersama. Kebanyakannya bertujuan untuk menguruskan badan. Tidak pula bagiku. Apa sahaja aktiviti riadah yang aku lakukan adalah untuk menambahkan stamina. Senaman itu penting untuk menjaga kesihatan badan samada dalaman dan juga luaran. Habis sahaja waktu kerja kami akan bersiap ke Taman Jaya seawal jam 5.00 petang menaiki kereta masing-masing. Perjalanan dari pejabat ke Taman Jaya tersebut hanya mengambil masa 5 minit sahaja. Dekat bukan?

Mari mulakan dengan jogging . Pusing 3 kali taman pun dah berpeluh tau. Inilah kasut kesayanganku yang telah lama tersimpan di dalam rak.

 
Pemandangan tasik di Taman Jaya. Walaupun tidak lah sebersih mana namun dapat juga mententeramkan jiwa dan fikiranku.


Tidak perlu bayar mahal untuk bersenam di gym. Menggunakan peralatan senaman di sini sambil menghirup udara luar yang segar pun sudah mencukupi.

 
Inilah Jana yang sedang berusaha mengempiskan perut katanya. hehehe

 
Akhirnya, kami menghabiskan masa dengan bermain badminton.  Seronok juga tapi kalau dapat main tenis lagi seronok kan?

Thursday, March 6, 2014

Sedih

        Sekarang, rakyat Malaysia sedang hangat bercerita mengenai sebuah kontroversi melibatkan seorang artis yang merampas suami orang. Aku berasa sangat sedih dengan apa yang berlaku. Aku amat memahami perasaan isteri tersebut.  Suami yang sepatutnya melindungi isteri yang sah sanggup memihak kepada perempuan lain yang hanya digelar kekasihnya. Luluh hati seorang perempuan lebih-lebih lagi ibu yang telah mengandungkan anak suami itu apabila diperlakukan seperti sampah dan patung bernyawa. Sebagai seorang perempuan dan isteri yang sanggup bersusah senang dengan suami sejak mula hingga berjaya dan akhirnya dibuang begitu saja malah dianiaya dari segi zahir dan batin memang pedih untuk diterima. Lebih parah apabila digantung tidak bertali tanpa sebarang nafkah. Bersabarlah wahai sahabat. Tidak perlu untuk kita menyalahkan sesiapa kerana ia tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan. Berdiam adalah lebih baik dari berkata-kata. Allah kan ada. Kita perlu yakin dengan ketentuanNya. Biar saja Allah membalasnya di akhirat kelak. Hukum dunia tidak sama dengan hukum Allah. Mungkin sekarang mereka menang dengan hukum dunia namun hukum Allah? Mungkin sekarang lidah yang sering mengeluarkan kata-kata boleh memutar belit segala fakta yang ada sehingga hati menjadi buta dan hitam tanpa ada rasa bersalah. Lebih pahit juga jika kita yang lemah ini tidak mampu melakukan apa-apa kerana segalanya ibarat seperti ditindas tanpa ada belas kasihan seorang insan yang bergelar suami yang sepatutnya melindungi dan menjaga aib seorang isteri. Undang-undang dunia adalah duniawi semata-mata. Orang yang secara terang-terangan bersalah masih boleh dibela. Kerana apa? Kerana wang mengatasi segala-galanya sehingga manusia sanggup melakukan apa saja sehingga mengorbankan maruah diri dengan sengaja. Semua itu hanyalah untuk memuaskan nafsu semata-mata. Namun, siapalah kita untuk menghukum seseorang kerana kita juga manusia biasa yang sering melakukan kesalahan. Biar Allah saja yang membalasnya. Niat yang salah dalam sesebuah perhubungan tidak akan ke mana. Berserah sepenuhnya kepada Allah. 

         Apa yang mampu aku katakan agar isteri tersebut tetap tabah dan kuat dalam mengharungi dugaan hebat ini. Perbanyakkan solat hajat dan solat sunat taubat. Mengadulah kepada Allah yang Maha Besar, Maha Mendengar lagi Maha Pengasih. InsyaAllah ada kemanisan di sebalik kepahitan yang dilalui. Apa yang penting, bangunlah dan kuatlah demi anak-anak.  Hidup ini ibarat roda. Sekarang mungkin mereka menang kerana Allah ingin menduga sejauh mana mereka boleh bahagia di atas kesengsaraan kita. Dalam masa yang sama, Allah juga ingin menduga sejauh mana kesabaran dan keimanan kita. Namun jangan sesekali kita membenci. Cuba untuk memaafkan kerana apabila kita memaafkan orang hidup kita akan lebih tenang.  

Monday, March 3, 2014

Arjuna Beta

oleh Fynn Jamal

Verse 1

Tak kanku biarkan walau ribut menyentakmu yang tidur
datang petir menyambar
jengking dan ular–
bonda takkan berundur

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa

verse 2

kan ada satu ketika kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul, anakanda,
tak jelas mata–
ambil yang sarat duri

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

chorus

ngeri tak terbayang mata
bonda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
bonda memujukmu, anakanda

hiduplah arjuna beta
biarkan jasad yang luka
selama tuhanmu ada
takkan engkau tercela

nyamanlah arjuna beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa



Aku sangat meminati lagu tersebut. Pertama kali mendengar lagu dan liriknya, aku terus jatuh cinta.  Lagu tersebut sangat unik. Seperti biasa, sekali lagi rakan pejabatku mengatakan aku pelik. Mengapa? sebab aku seorang sahaja meminati lagu itu manakala yang lain pula semua tidak meminatinya. hehehe. Mungkin jiwa aku sangat halus sampai semua orang susah nak jangka. Biarlah yang penting aku suka!!!!

Menyepi

        Siapalah aku untuk menolak takdir.  Semuanya adalah ketentuan Allah Yang Maha Esa. Tidak perlu untuk menyalahkan sesiapa.  Yang penting aku redha dan pasrah dengan segala yang ditakdirkan untukku.  Mungkin ada hikmah yang tersirat di sebaliknya.  Mungkin juga ianya adalah balasan untuk diriku yang selama ini lalai akan tanggungjawabku sebagai hamba Allah di muka bumi ini.  Aku kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata.  Namun, aku tetap bersyukur kerana masih mempunyai dua orang putera yang telah menceriakan siang dan malamku.  Hanya gelak dan tawa mereka sumber kekuatan untuk aku meneruskan perjalanan hidupku ini. 

       Sejujurnya, luka yang terpalit dalam hatiku ini masih terasa sakitnya.  Mungkin ia akan berparut sehingga ke akhir hayatku.  Lukanya sangat dalam.  Hanya Allah sahaja yang tahu segala isi hatiku dan kesakitan yang telah aku sembunyikan selama ini. Siapa sangka ibu kepada dua orang putera yang kelihatan sentiasa ceria dan murah dengan senyuman sedang melalui kehidupan yang sangat perit untuk di rasai.  Apapun, aku tetap bersyukur kerana aku adalah di antara orang-orang terpilih dalam menerima ujian dan dugaan dari Allah S.W.T.  Bukan semua orang mampu dan boleh perolehinya. 

         Bukan niatku untuk menyepi.  Bukan niatku untuk melarikan diri. Bukan niatku untuk mengelak. Cukup lah selama ini aku menjadi perbualan di pejabat, jiran tetangga, facebook, instagram dan sebagainya. Aku tidak mahu lagi menambah segala kekusutan. Aku sangat letih untuk menjawab segala persoalan orang.  Aku mengambil keputusan untuk berdiam diri. Bukankah diam itu adalah lebih baik dari berkata-kata? Aku tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan.  Aku hanya mahu mengelakkan dosa dengan fitnah dan tuduhan yang dilemparkan terhadapku. Memang tidak dinafikan aku sangat merindui semua sahabat dan rakan-rakanku.  Aku amat menyayangi persahabatan.  Namun, apa yang mampu aku lakukan? Walaupun ia menjadi tanda tanya dan teka teki oleh mereka, sekurang-kurangnya aku dapat meneruskan kehidupan dengan tenang dan terus positif.  Mungkin pengalaman telah mendewasakanku. Kehidupan menjadikan aku lebih matang dalam menangani semua permasalahan.

          Mungkin, ada hikmah di atas semua yang terjadi.  Alhamdulillah aku semakin dekat dengan Allah.  Alhamdulillah aku semakin kuat untuk berusaha sendiri dalam membesarkan putera-puteraku. Apa yang ku fikirkan sekarang adalah kebahagiaan mereka. Ya..hanya mereka Danial Asyraf dan Rayyan harith. Hanya kebahagian mereka. Tentang diriku? Itu semua aku tolak tepi. Melihat orang di sekelilingku bahagia akan membuatkan diriku juga bahagia.  InsyaAllah..

Sunday, March 2, 2014

Sambutan Ulang Tahun Kelahiran

       Alhamdulillah..Kami baru sahaja selesai memotong kek sempena menyambut hari ulang tahun Linda merangkap adik iparku yang ke 29.  Nak tahu mengapa aku pun terselit di situ? Ini semua angkara ahli keluargaku yang lain.  Sambut sekali dengan ulang tahun kelahiran ku 26hb Februari. Dah tua-tua ni masih lagi kena potong kek ke? Dah beranak 2 dah pun. Malu le. Biarlah Danial dan Linda sahaja yang potong kek. Aku pegang anak buahku Rayqal yang sangat comel itu. Untuk adik ipar kesayanganku Linda..Along doakan Linda panjang umur, berjaya dalam kerjaya, dan dikurniakan anak yang soleh dan comel.  Tak sabar aku nak dapat anak buah lagi.

Rayqal sangat seronok nampak kek.  Terus Linda ajak potong sekali. Danial macam jeles je?


Alhamdulillah..aku masih bersyukur kepadaMu ya Allah kerana menganugerahkan sebuah keluarga yang baik dan sempurna. Mereka sentiasa bersamaku dan menyokongku ketika aku susah dan senang..alhamdulillah