"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada Hari Akhirat" - (Ar-Ra'd:22)

Sunday, September 29, 2013

Sampai hati kamu!

Assalammualaikum..

         Dah berbulan-bulan aku demam, batuk dan selesema.  Semua ubat aku dah telan.  Banyak Dr. dah aku jumpa.  Namun masih tidak sihat juga.  Aku sangkakan hanya demam biasa.  Namun lama-kelamaan aku rasa musykil kerana selepas aku membaca ayat-ayat Ruqyah, tangan dan badan ada kesan cakaran.  Satu badan terasa sakit dan sengal sendi.  Aku dapat rasakan ini bukan demam biasa.

           Mak rasa tak sedap hati tengok keadaan aku yang semakin lama semakin kurus.  Demam pula masih tidak baik lagi.  Hari sabtu lepas, abah bawa aku jumpa Ustaz.  Aku pula rasa tidak keruan. Ntah mengapa hati rasa berdebar-debar dan takut untuk berhadapan dengan Ustaz tersebut.  Selesai sahaja Ustaz membaca ayat-ayat Quran di dalam air yang abah bawa, Ustaz terus memanggilku.

Ustaz    :   "Siti Marwiah, mari dekat.."
Aku       :   "hmmmmm...(datang dekat dengan perlahan-lahan.  Hati rasa sangat berdebar)
Ustaz    :   "Kamu takut?"
Aku       :   (Hanya tersenyum)
Ustaz    :   "Tengok tangan kamu?"
Aku       :   (Terus tunjuk tangan)
Ustaz    :  "Selunjur kaki kamu"

              Ustaz memegang jari kaki aku sambil membaca ayat-ayat al-Quran.  Tiba-tiba aku rasa sakit yang amat sangat.  Pengalaman sama pernah aku lalui sebelum ini tapi ini lagi sakit.  Setelah selesai ustaz menasihati aku agar bangun jam 1 hingga 2 pagi buat solat hajat, solat taubat, solat tahajud dan membaca surah yassin agar disembuhkan oleh Allah segala sakit yang aku alami.  

Ustaz    :    "Saya hanya tarik dan ubati sebelah badan kamu dahulu kerana saya tahu kamu
                    lemah semangat dan tidak mahu menyakiti kamu.  Saya tidak akan memaksa   
                    kamu kerana jika saya paksa mungkin kamu akan pengsan.  Biarlah orang ingin
                    menganiaya kita dan jangan sekali-kali kita membalasnya.  Apa yang penting kita
                    mohon pada Allah dan amalkan membaca surah yassin semoga orang yang    
                   menganiaya kamu itu mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah s.w.tMohonlah
                   doa dari Allah kerana di antara doa yang dimakbulkan adalah doa-doa orang yang
                   teraniaya. Mengapa lambat sangat kamu datang? Tidak mengapalah kita 
                   sama-sama berusaha dan berdoa agar kamu kembali pulih sepenuhnya.  Niatnya
                   memang ingin buat kamu hingga kering dan hancur.

         Ya Allah Ya Tuhanku.  Tidak ku sangka begitu busuk hatinya.  Sanggup memperlakukan aku sebegitu rupa.  Siapa aku baginya? Patung? Sampah? Apapun yang dia lakukan tak pernah sekali dendam dihatiku.  Semoga Allah lindungi aku dan anak-anakku. Aku hanya mohon Allah beri petunjuk kepadanya agar menuju ke jalan yang Kau redhai. 


Tuesday, September 24, 2013

Manusia oh Manusia

Assalammualaikum..

          Pada blog ini sahaja tempat aku meluahkan apa yang aku rasa.  Susah, senang, sedih dan gembira hanya dapat dikongsikan di sini sahaja. Mungkin aku juga memerlukan seorang teman yang sudi mendengar dan perihatin terhadap permasalahanku.  Namun aku seorang yang sangat memikirkan hal orang lain lebih dari diriku sendiri.  Aku tidak mahu menambah lagi masalah orang dengan masalah aku yang aku rasa tiada siapa boleh membantuku kecuali Allah S.W.T.  Mungkin dengan adanya blog ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang aku tanggung.

            Pagi-pagi semalam, aku mendapat panggilan telefon supaya datang berjumpa dengan Pengarah Bahagian Aduan Awam.  Sungguh musykil kerana sepanjang aku bekerja di bahagian Jaminan Kualiti ini, dari segi kerja seharian memang tidak pernah melibatkan Pengarah Bahagian tersebut.  Lebih menjadi tanda tanya apabila PA beliau mensarankan aku agar menghubungi No. Hp Pengarah tersebut sekiranya ingin mendapatkan kepastian mengenai hal yang berkait dengan diriku. Dengan rasa yang penuh tanda tanya, aku gagahkan diri untuk menghubungi beliau.  Jawapan yang aku terima memang tepat dengan ramalanku iaitu mengenai hal peribadiku.  Sehingga kini aku masih tidak dapat menerima dan masih tidak menyangka begitu busuk hati suamiku sehingga sanggup mengaibkan aku sebegini rupa.  Ya Allah apakah semua dugaan ini sebenarnya madu bagiku di pengakhiran nanti walaupun sehingga sekarang aku terpaksa menelan pahitnya.  Apa yang mampu aku lakukan? Hanya menangis, menangis dan terus menangis.

             Dalam masa yang sama aku sangat kecewa dengan perlakuan suamiku sendiri yang sanggup menganiaya aku sampai ke tahap begini.  Mencanang hal rumahtangga kepada umum. Mengaibkan aku di merata tempat. Siapa aku sebenarnya? Sampah? Patung? Tidak pernah sama sekali aku datang ke pejabatnya.  Tidak pernah sama sekali mengusik tempatnya untuk mencari rezeki.  Tidak pernah sesekali aku mengaibkannya di khalayak umum.  Allah sendiri yang telah membuka aibnya tanpa dia sedari.  Sampai bila dia akan menindas ku.  Maruah aku dan keluargaku telah di pijak-pijak.  Apa yang aku mampu lakukan hanyalah berserah sepenuhnya kepada Allah.  Alhamdulillah aku bersyukur kerana Allah telah melindungiku walau sejahat mana yang telah dilakukan kepadaku.  Aku dikurniakan rakan sepejabat yang baik, aku dikurniakan jiran tetangga yang mengambil berat, aku dikurniakan rakan baik yang sangat memahami dan dalam masa yang sama telah banyak ikatan sirraturrahim telah terjalin tanpa disedari kerana mereka semua ini datang tanpa aku cari.  Mungkin mereka semua ini hadir dalam hidupku atas kehendak Allah.  Mereka sangat mengasihani aku terhadap apa yang telah berlaku dan apa yang telah dilakukan oleh suamiku sendiri samada di hadapan dan dibelakangku.  Alhamdulillah aku bersyukur.  Aku sangat yakin kepada Allah.  Aku tahu Allah Maha Mengetahui sesuatu baik buruk yang berlaku. 

              Alhamdulillah seorang hamba Allah yang berpangkat tinggi di dalam pejabatku telah berpihak sepenuhnya kepadaku.  Mungkin beliau adalah anugerah yang Allah pinjamkan tatkala aku dilanda kesusahan.  Beliau dengan ikhlas akan menyelesaikan semua isu yang aku hadapi di pejabat yang mana isu itu telah dihebohkan oleh suamiku sendiri yang berniat untuk menjatuhkan karierku.  Patutkah aku memanggilnya suami? Panggilan suami hanya pada dasarnya namun hakikatnya Allah sahaja yang mengetahui.  Patutkah digelar suami sekiranya sanggup menfitnah, mengaibkan dan menuduh isteri sendiri sehingga sedikit sebanyak menjejaskan nama baik isteri di dalam organisasi? Hebatkah begitu? Banggakah dia? Terima kasih aku ucapkan kepada suamiku yang telah mengaibkanku sebegini rupa.  Bergembiralah dengan apa yang kau lakukan.  Aku ada Allah.  Apa sahaja penganiayaan yang kau lakukan terhadapku, aku serahkan kepada Allah untuk menghitungnya. 

              Aku hanya mampu berdoa agar semuanya dapat diselesaikan dengan baik.  Allah Maha Mengetahui.  Sedikit pun aku tidak pernah gentar.  Malah aku lebih kuat.  Apa yang telah kau lakukan tidak pernah aku lupa sampai aku mati.

            
            

Thursday, September 19, 2013

Muhammad Aqil Rayqal

Assalammualaikum..

        Alhamdulillah, adikku emi selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5kg di Hospital Kajang pada 7 September 2013 jam 7.20 petang secara normal.  Bayi comel putih gebu itu diberi nama Muhammad Aqil Rayqal. Alhamdulillah ibu dan anak sihat walafiat. Rayqal adalah anak buahku yang pertama.  Jadi bertambahlah cucu lelaki Encik Latiff ye.

           Sekarang ni Rayyan sedang buat perangai bila adanya Rayqal.  Rayyan asyik merengek je bila nenek dukung Rayqal.  Apatah lagi kalau Mommy dia ni yang dukung lagi la dia menangis berjurai air mata.  Mungkin Rayyan cemburu kot.  Sabar je la. Apapun tahniah diucapkan kepada adikku Emi dan Izham di atas kelahiran Rayqal..

Wednesday, September 4, 2013

jangan demam..

Assalammualaikum..
           Alhamdulillah hujan turun membasahi bumi sejak malam tadi.  Hampir 2 minggu aku menahan diri.  Rasa macam nak demam.  Badan rasa sekejap panas sekejap sejuk melampau.  Tekak sakit.  Kepala memang sangat pening.  Kalau ikutkan hati mahu saja ambil MC rehat di rumah.  Namun memandangkan aku masih mampu untuk berjalan dan memandu itu sudah cukup memadai untuk aku menjalankan tugas.  
           Berada di pejabat, aku banyak mendiamkan diri sampaikan orang lain pun pelik melihat perangaiku.  Nak buat macam mana kan? Sebab aku sebenarnya menahan pening.  Aku bukan jenis yang suka makan panadol.  Kalau demam aku biar je sampai la sihat tu datang sendiri.  Selalunya aku akan amalkan minum air bali suam setiap masa.  InsyaAllah panas akan kebah dengan sendiri.  Dengan keadaan pejabat yang sangat sejuk dengan penghawa dingin ini buat aku rasa bertambah sejuk.  Stokin dah pakai.  Blazer dah pakai.  Sampai sarung tangan pun aku pakai tau.  Nak buat macam mana kan? Dah diri sendiri pun kurang lemak, jadi sejuk tu akan menusuk sampai ke tulang lah jawabnya.
             Yang penting kena positifkan diri.  Kena selalu fikir yang aku ni aktif dan sihat.  Tak boleh malas-malas ya.  Lagipun kat sini sorang-sorang.  Tiada siapa pun yang akan ambil berat dengan aku ni melainkan diri sendiri.  Tak nak susahkan ibu bapa kalau tahu aku kurang sihat.  Jadi pandai-pandailah jaga diri sendiri ya.
              Walaupun kepala pening sampai boleh pengsan, malam tadi sempat lagi memanjakan diri.  Seronok dapat scrub muka dengan bahan-bahan semulajadi.  Memang rasa segar.  Dapat pula rendam kaki dengan garam bukit.  Wah terasa darah mengalir satu badan dengan lancar.  Memang rasa sangat tenang.  Tak perlu pergi spa bayar mahal.  spa di rumah pun dah cukup.  Bangun tidur rasa segar.  Lepas solat terus bersiap pergi pejabat.  Sekarang masih lagi hujan lebat di sini.  Seronoknya kalau dapat mandi hujan macam kecil-kecil dulu. hehe
            

Tuesday, September 3, 2013

Kerana Wang Manusia Alpa


Assalammualaikum..

          Alhamdulillah sedikit demi sedikit Allah telah memberi petunjuk dan hidayah kepada hambaNya yang hina ini.  Sehebat mana kuasa dan pengaruh seorang manusia , hebat lagi kuasa Allah S.W.T yang sememangnya tiada tandingan kerana Allah S.W.T yang mencipta kita semua. Manusia boleh menjadi alpa kerana wang.  Manusia boleh menjadi buta kerana wang.  Manusia boleh menjadi takbur kerana wang.  Segala-galanya adalah kerana wang.  Bila manusia menjadi hamba wang, seluruh kehidupannya tidak akan tenang.  Ingatlah, wang tidak boleh membeli segala-galanya.  Malah wang juga boleh menghancurkan hidup kita.

         Siapalah aku untuk menidakkan apa yang telah ditentukan oleh Allah.  Namun, aku besyukur dengan dugaan yang telah aku terima ini.  Sedikit sebanyak memberikan aku pengalaman yang bukan semua orang boleh rasai.  Aku diheret ke mahkamah.  Aku diheret ke Balai Polis Siasat Jenayah.  Aku pun tidak pasti selepas ini aku diheret ke mana lagi.  Semuanya kerana sikap seorang manusia yang selama ini langsung tidak berperikemanusiaan sanggup melihat seorang perempuan teraniaya untuk memuaskan hatinya sendiri.  Namun aku tetap bersyukur kerana aku dapat merasai pengalaman sebegini.  Aku juga yakin bahawa aku tidak bersalah dan Allah berada di sampingku tidak kira di mana aku berada.  Aku bergantung sepenuhnya dengan kekuasaan Allah.  Alhamdulillah, aku tetap tenang dan masih lagi boleh tersenyum.  Hukum dunia tidak dapat melawan hukum Allah kerana sesungguhNya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Besar.

             Hatiku sangat tersentuh apabila terbaca satu artikel di SINIMungkin ramai yang musykil mengenainya.  Apakah kaitannya berita tersebut dengan diriku? Biarlah aku sahaja yang mengetahui.  Apa yang aku boleh gambarkan di sini adalah aku sungguh bersimpati dengan pihak tertuduh tersebut.  Aku dapat merasakan bahawa dia adalah mangsa keadaan yang telah dimanipulasi oleh sesetengah pihak demi untuk kepentingan mereka sendiri.  Di saat ini, berjurai air mataku apabila memikirkan nasib isteri dan anak-anaknya di atas pertuduhan tersebut.  SesungguhNya aku akan tetap berdoa dan mohon agar Allah tunjukkanlah jalan keluar dan kebenarannya seandainya dia adalah di antara orang-orang yang telah dianiayai.  Ingatlah wahai manusia, wang tidak dapat membeli segala-galanya kerana di akhirat nanti segala perbuatan akan dihitung oleh Allah.. Wallahualam..

Monday, September 2, 2013

Anakku

Assalammualaikum..

Duhai anak-anakku Danial Asyraf dan Rayyan Harith..
Ketahuilah anakku bahawa mommy sangat sayang akan kamu..
Mommy akui bahawa mommy mungkin tidak dapat memberikan kamu harta yang melimpah ruah seperti Daddy..
Namun, mommy sanggup lakukan apa sahaja demi kamu..
Mommy hanya mampu memberikanmu kasih sayang yang tulus ikhlas..
Mommy akan cuba melindungimu dan berada di sisimu tidak kira di mana kamu berada..
Mommy akan cuba memberikan kamu didikan agama yang sempurna..
Mommy akan berusaha memberikan kamu tempat perlindungan yang baik untuk tumbesaran kamu..
Mommy yakin rezeki itu ada di mana-mana kerana Allah yang menentukannya..

Ketahuilah anakku bahawa mommy sangat sayang akan kamu..
Dari  kecil hingga besar tidak pernah sesekali Mommy lupa untuk mendoakan kesejahteraan kamu supaya kamu menjadi akan anak yang soleh..
Di hadapanmu tidak pernah sesekali Mommy mengeluarkan air mata demi melihat kamu bahagia..

Ketahuilah anakku bahawa mommy sangat sayang akan kamu..
Kamu masih kecil untuk mengerti segalanya..
Tapi Mommy percaya kamu juga kuat seperti Mommy untuk menghadapi dugaan ini..
Maafkan Mommy duhai anak-anakku..
Mommy lakukan ini demi masa hadapan kamu..
Jika ditakdirkan suatu hari nanti kamu memilih untuk bersama Daddy, Mommy redha..
Siapalah Mommy untuk menidakkan takdir yang Allah telah tentukan untuk Mommy..

Ketahuilah anakku bahawa mommy sangat sayang akan kamu..
Mommy akan selalu mendoakan agar kamu cekal membesar menjadi anak yang soleh..
Semoga air susu Mommy yang mengalir dalam dirimu membuatkan kamu mengingati Mommy walau di mana kamu berada..
Tiada apa yang Mommy mahu sebagai balasan..
Mommy hanya mahu kamu menjadi seorang anak yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat..